PETALING JAYA – Proses ’embalming’ iaitu pengawetan dengan kaedah mengeluarkan keseluruhan cecair dalam badan khususnya darah adalah sangat menyakitkan mayat.
Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Ustaz Rafie Zainal berkata, prosedur tersebut perlu dilakukan bagi setiap jenazah yang dihantar pulang ke negara asal dan ia perkara biasa bagi jasad bukan Islam.
“Ia adalah prosedur ditetapkan pihak penerbangan agar mayat dihantar dapat dipelihara keadaan jasadnya dan proses pereputan dapat dilambatkan.
“Kaedah ini sangat menyakitkan mayat kerana keseluruhan cecair dalam badan mayat khususnya darah perlu dikeluarkan dan organ-organ dalamannya perlu dibersihkan,” katanya pada hantaran Facebook.
Beliau berkata, sebab itu Islam menetapkan di mana sahaja seseorang itu meninggal dunia, maka sebaiknya di situ jasad dikebumikan.
“Tidak perlu dibawa pulang sehingga terpaksa melalui proses pengawetan ini bagi perjalanan melalui udara,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut berkongsi mengikuti kelas secara atas talian bagi memperbaharui lesen embalmer bersama pihak kolej berpusat di Manila, Filipina.
“SPJM sentiasa merangka perancangan strategik dan dinamik untuk manfaat ummah dan masyarakat. Semoga segala perancangan diberkati Allah dan dipermudahkan segala urusan.
“Dalam masa sama, SPJM sentiasa komited menggapai visi ‘Ke Arah Pengurusan Jenazah Patuh Syariah, Profesional, Antarabangsa’ dalam menyantuni setiap jenazah dan membantu waris yang ditinggalkan,” katanya. -KOSMO! ONLINE