KOTA BHARU – Seorang pelajar Politeknik Kota Bharu maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta semasa cuba untuk melintas melalui penghadang jalan di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, Padang Kala di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.05 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Muzafarrizal Adenan, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala akibat tercampak sejauh 20 meter.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM sedang dalam perjalanan dari arah Melor ke Peringat.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, Muhammad Muzafarrizal dipercayai tiba-tiba membelok ke kanan sebelum menaiki penghadang jalan di tengah jalan untuk masuk ke Lorong Taman Kala Perdana.
“Insiden itu menyebabkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang pemandu lori brek secara mengejut. Akibat jarak yang terlalu dekat, kereta tersebut terus merempuh motosikal mangsa.
“Rempuhan itu turut mengakibatkan Muhammad Muzafarrizal tercampak sejauh 20 meter sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Rosdi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk dibedah siasat.
Katanya, siasatan lanjut mendapati, kemalangan itu dipercayai berlaku disebabkan kecuaian mangsa yang membelok di tempat yang tidak dibenarkan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE