fbpx

Pelajar antarabangsa UPM rasai budaya korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Program tersebut melibatkan 25 pelajar antarabangsa UPM.

BAGI menyantuni pelajar antarabangsa sempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha, buat julung-julung kalinya, Putra International Centre (i-Putra) bersama EZ Qurban Sdn. Bhd. menjalankan Program Ibadah Korban i-PUTRA 1443H di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Seramai 25 orang pelajar terlibat dalam aktiviti melapah dan menerima agihan daging korban pada program tersebut.

Rata-rata pelajar antarabangsa UPM yang terlibat terdiri daripada mereka yang berasal dari negara di Asia Barat dan Afrika.

Selain pelajar, program tersebut turut disertai 20 staf i-PUTRA serta beberapa kakitangan Pusat Tanggungjawab (PTJ) serta lima wakil Angkatan Tentera Malaysia.

Pengarah i-PUTRA, Prof. Dr. Suhaimi Ab. Rahman berkata, tujuan utama program itu diadakan adalah untuk merapatkan hubungan i-PUTRA UPM dengan pelajar antarabangsa di universiti tersebut.

“Kami dapati pelajar antarabangsa sangat teruja dan bangga kerana mereka diberi peluang untuk bersama-sama keluarga i-PUTRA menjalankan aktiviti korban.

“Dengan ini, usaha kita yang mahu merapatkan jurang antara i-PUTRA dengan komuniti antarabangsa telah berjaya.

“Saya berharap pelajar mendapat pengalaman berguna bagaimana masyarakat Islam di Malaysia menjalankan ibadah korban,” katanya.

Pelajar antarabangsa didedahkan dengan ibadah korban yang dilakukan di negara ini.

Turut hadir pada program itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail dan Pendaftar UPM, Muhazam Mansor.

Menerusi program tersebut, sebanyak 1,200 pek bungkusan daging korban diedarkan kepada pelajar-pelajar antarabangsa, komuniti setempat dan Sekolah Kebangsaan Serdang.

Dalam pada itu, seorang pelajar antarabangsa UPM, Ali Mohammed Baba berkata, beliau teruja mengikuti program itu.

SELAIN penduduk setempat, daging korban turut diedarkan kepada pelajar antarabangsa pada program tersebut.

“Ini kerana, saya mendapat pengalaman baharu, terutamanya mengenai cara pengendalian agihan daging korban di Malaysia.

“Saya gembira melihat staf UPM dan pelajar antarabangsa bekerjasama untuk menjayakan agihan daging korban kepada mereka yang memerlukan.

“Saya berharap agar program seumpama ini akan diteruskan oleh UPM pada masa hadapan demi kebaikan semua pihak,” ujarnya.

Katanya lagi, segala usaha yang dilakukan ini sedikit sebanyak dapat mendekatkan komuniti pelajar antarabangsa di universiti terbabit dengan i-PUTRA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI