PETALING JAYA – Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara berlepas ke Baling, Kedah hari ini bagi misi menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada penduduk yang terjejas banjir baru-baru ini.
Misi bantuan itu diketuai Juruiring Tentera Laut Seri Paduka Baginda, Laksamana Pertama Datuk Sharum Shaim dan melibatkan 26 sukarelawan terdiri daripada pegawai serta kakitangan Istana Negara serta 10 sukarelawan Pasukan Telekom Malaysia Reaching Out Volunteers (TMROVers).
Turut menyertai misi itu adalah Juruiring Polis Seri Paduka Baginda, Senior Asisten Komisioner Datuk Azry Akmar Ayob.
Istana Negara menerusi hantaran di Facebook berkata, sumbangan itu berupa peralatan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh, pengisar, periuk nasi serta barang keperluan lain iaitu tilam, selimut dan bantal.
Pasukan itu turut menyampaikan sumbangan baju sekolah, alat tulis dan kasut daripada Yayasan Al-Sultan Abdullah kepada 396 pelajar di Sekolah Menengah Agama (Arab) Yayasan Al Kahriah di Kupang.
“Pasukan ini turut membawa peralatan untuk membantu membersihkan kawasan yang terjejas seperti sekolah dan dewan komuniti.
“Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara ditubuhkan atas cetusan idea Seri Paduka Baginda untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang hilang tempat berteduh dan kerugian besar akibat bencana,” ujar kenyataan itu.
Sebelum ini, pasukan itu menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada mangsa banjir di Selangor dan Pahang sebelum ini
“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa simpati dengan ujian serta keperitan yang ditanggung mangsa banjir Baling dan menzahirkan harapan semoga bantuan yang dihulurkan dapat mengurangkan beban mereka,” katanya. -KOSMO! ONLINE