MUNICH – Ketua Pegawai Eksekutif Bayern Munich, Oliver Kahn mendakwa bahawa pemain pertahanan Juventus, Matthijs De Ligt sangat berminat untuk menyertai gergasi Bundesliga itu menyebabkan kelab itu juga bersungguh-sungguh untuk mendapatkan khidmatnya.
Kahn mengakui bahawa minat yang ditunjukkan De Ligt menyebabkan rundingan antara kedua-dua kelab terbabit sudah bermula dan percaya bahawa proses perpindahan akan berlaku sebelum musim baharu bermula.
“Kami sudah mengadakan perbincangan dan pemain berkenaan juga sangat berminat untuk menyertai FC Bayern. Ia akan melibatkan rundingan lanjutan dan kita akan tengok apa yang bakal berlaku,” katanya.
De Ligt memiliki klausa pelepasan bernilai £100 juta (RM527.41 juta), namun Juventus dilaporkan bersedia untuk mempertimbangkan sekiranya mendapat tawaran sekitar £76 juta (RM400.83 juta).
Terdapat juga laporan menyebut bahawa kelab yang berpangkalan di Turin itu bersedia menerima tawaran Bayern bernilai £51 juta (RM268.98 juta) daripada Bayern tidak termasuk beberapa bonus lain.
De Ligt ketika ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea, namun Bayern dipercayai sedang mendahului perlumbaan mendapatkan khidmatnya yang tidak begitu berminat untuk ke Liga Perdana Inggeris.
Pemain antarabangsa Belanda itu sudah membuat 117 penampilan bersama Juventus selepas berhijrah dari Ajax Amsterdam pada 2019 dengan nilai perpindahan £67.5 juta (RM356 juta) dan berjaya meledak lapan gol.
Perkembangan itu menyaksikan Juventus dikaitkan dengan minat untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan Arsenal, Gabriel Magalhaes untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan De Ligt.– AGENSI