PUTRAJAYA – Lembaga Angkasa Malaysia (Interim) akan ditubuhkan Ogos ini bagi memastikan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) dapat dilaksanakan dengan efektif dan berkesan.
Menurut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), lembaga tersebut akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan bersama ahli-ahli daripada kementerian dan agensi yang berkaitan.
“Buat masa ini, pihak syarikat dan industri adalah dinasihat supaya mendaftarkan satelit atau sebarang objek angkasa yang telah dilancarkan kepada MOSTI.
“Setelah akta berkuat kuasa, semua objek angkasa yang telah dilancarkan sebelum ini adalah tertakluk di bawah Akta 834 dan hendaklah didaftarkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh akta berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas MOSTI, akta berkenaan telah diwartakan pada 25 Januari lalu untuk mengawal selia aktiviti berkaitan angkasa bagi tujuan keselamatan, mengawal selia pendaftaran objek angkasa dan mengadakan peruntukan bagi kesalahan berkaitan aktiviti angkasa.
Katanya lagi, akta tersebut juga akan memastikan aktiviti angkasa negara dilaksanakan secara bertanggungjawab, selamat dan terjamin serta mematuhi segala peraturan dan piawaian yang dipersetujui di peringkat antarabangsa terutamanya melalui United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA). – KOSMO! ONLINE.