fbpx

Laporan portal isu tuntutan Penjana Kerjaya tak tepat – Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menafikan kesahihan laporan berita yang disiarkan sebuah portal hari ini yang bertajuk ‘SPRM Angkut 40 pekerja Kementerian Sumber Manusia, Perkeso – sumber’.

Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso, Izad Raya berkata, pihaknya berasa amat kecewa kerana tidak dihubungi terlebih dahulu untuk mengesahkan fakta sebelum berita tersebut disiarkan.

Justeru katanya, Perkeso kesal terhadap laporan berita yang tidak benar dan telah menjejaskan nama baik Perkeso.

“Walaupun portal itu telah membetulkan fakta dalam berita tersebut, namun berita awal yang disiarkan menyatakan pekerja Perkeso terlibat dalam penahanan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam Ops Hire berkaitan penyelewengan tuntutan Penjana Kerjaya, telah pun tular menerusi pelbagai platform media sosial seperti WhatsApp dan lain-lain.

“Berita tersebut turut menjadi sumber berita oleh beberapa pihak media yang lain sehingga menjejaskan reputasi Perkeso yang sentiasa mendukung tinggi nilai-nilai integriti dalam melaksanakan amanah yang digalas untuk membantu golongan sasaran yang memerlukan,”katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Izad berkata, Perkeso mengambil serius akan kepercayaan Kerajaan dan rakyat kepada organisasi ini untuk mengagihkan dana yang besar dalam membantu majikan dan pekerja yang terkesan akibat penularan Covid-19 di bawah Program Penjana Kerjaya.

“Justeru, kami memandang serius dan amat khuatir dengan laporan berita yang memetik sumber yang tidak sahih dan nyata bercanggah dengan etika kewartawanan.

“Sehubungan itu, pihak Perkeso berharap portal terbabit dapat memperbetulkan situasi negatif yang telah mereka timbulkan hasil daripada penyebaran maklumat tidak benar yang telah mereka lakukan,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI