PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 176 botol minyak masak botol 5 kilogram (kg) dari sebuah premis menjual guni dan memproses makanan di Port Dickson, Negeri Sembilan Jumaat lalu.
Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, minyak masak itu ditemui dalam 44 kotak dengan anggaran nilai RM7,920.
Beliau berkata, serbuan mendapati premis berkenaan menyimpan stok minyak masak melebihi had dibenarkan sama ada bagi tujuan perdagangan atau perniagaan.
“Ketika serbuan, seorang lelaki tempatan berusia 60-an mengaku sebagai pemilik premis dan memaklumkan menjalankan perniagaan menjual guni dan memproses makanan.
“Hasil pemeriksaan, pihak premis gagal mengemukakan sebarang dokumen permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPDNHEP membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti punca bekalan minyak masak diperoleh. – KOSMO! ONLINE.