KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang melaksanakan audit terhadap kilang pembungkusan minyak masak peket bagi mengelakkan minyak masak bersubsidi diseludup ke negara lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia antara tindakan untuk menangani penyelewengan yang dilaksanakan bermula daripada punca minyak masak itu dikeluarkan.
“Minyak masak peket bersubsidi diseleweng kerana harganya yang rendah RM2.50 sen. Kita sedang ambil tindakan.
“Pertama dari segi punca. Kita akan audit kilang-kilang. kita akan dapatkan perincian ke mana minyak masak dihantar dan siapa pembeli minyak masak.
“Kita akan dapatkan nama yang dibekalkan dan kita akan periksa dengan pembekal berapa banyak dia dapat,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan memastikan kestabilan harga barangan.
Ismail Sabri berkata, langkah seterusnya bagi menangani penyelewengan minyak masak bersubsidi adalah memperketatkan penguatkuasaan di sempadan negara.
Menurut beliau, sebelum ini keutamaan membanteras penyeludupan barang keperluan jatuh ke tangga kelima atau keenam berbanding penyeludup dadah dan senjata.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan telah mengeluarkan arahan pasukan polis dan tentera turut terlibat dari segi pengawalan barang keperluan termasuk minyak masak.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan sedang mencari mekanisme paling sesuai dalam merangka subsidi bersasar dan ia bukan sesuatu yang mudah.
“Antaranya adakah kita perlu membeli gula atau minyak masak menggunakan kupon? Adakah kupon boleh digunakan. Ini sedang kita perincikan.
“Perkara ini tidak semudah A,B,C. Ada perkara perlu dipertimbangkan. Sebagai contoh makcik jual pisang goreng guna minyak masak peket. Adakah kita mahu rampas dan saman mereka ini?,” katanya. – KOSMO! ONLINE