SEPANG – Seorang duda yang didakwa menghina Islam menerusi hantaran video di laman media sosial direman selama empat hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berusia 39 tahun itu direman sehingga Khamis di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.
“Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.
Sementara itu, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin memberitahu, proses reman sehingga 21 Julai dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah
“Lelaki itu ditahan pada 17 Julai di Puchong berhubung siasatan penularan video menghina agama Islam menerusi media sosial.
“Kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki dikecam orang ramai selepas tindakannya menghina agama Islam tular dalam media sosial.
Polis bagaimanapun dapat menahan lelaki itu di Puchong. – KOSMO! ONLINE