PETALING JAYA – Perbuatan dua lelaki tempatan memproses dan menjual air ketum terbongkar selepas mereka ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sebuah flat di Kelana Jaya, di sini pada Jumaat lalu.
Dua lelaki berusia 51 dan 47 tahun itu ditahan bersama air dan daun ketum yang dianggarkan bernilai RM10,140.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya membuat serbuan pertama di flat berkenaan pada pukul 4.45 pagi dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 51 tahun.
“Melalui penahanan suspek, polis berjaya menemui satu bekas plastik mengandungi cecair disyaki air ketum dianggarkan seberat 1,500 miligram dianggarkan bernilai RM20.
“Hasil pandu arah suspek, polis kemudiannya menahan seorang lagi lelaki berusia 47 tahun di sebuah rumah di flat sama dan menemui satu bekas plastik disyaki air ketum dianggarkan seberat 1,500 miligram dianggarkan bernilai RM20,” ujarnya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini hari ini.
Menurutnya, hasil penahanan kedua-dua suspek, sekali lagi serbuan dijalankan di sebuah rumah di flat sama pada pukul 5.45 pagi.
“Pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemui 100 bungkusan plastik dipercayai mengandungi daun ketum dengan setiap satu seberat 1,000 gram, empat bungkusan plastik berisi disyaki daun ketum dengan setiap bungkusan 1,000 gram serta dua alat penimbang.
“Di bahagian dapur pula, kami menemui empat tong ais mengandungi 380 peket plastik berisi air ketum dengan setiap bungkusan seberat 1,000 milimiter.
“Selain itu, kami menemui tiga periuk, tiga dapur masak, tiga besen, dua senduk, satu sarung tangan, satu apron, dua bekas air, satu kayu pengacau, dua penapis dan tiga tong gas,” katanya.
Jelas beliau, nilai keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM10,140 boleh dibekalkan kepada kira-kira 2,000 pengguna.
“Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak empat bulan lalu dengan menjual air ketum pada harga RM10 sebungkus.
“Dua individu yang ditahan itu dipercayai tukang masak yang memproses daun ketum berkenaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE