PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan cuaca cerah di kebanyakan negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, manakala hujan hanya melibatkan beberapa kawasan pada pagi ini.
MetMalaysia menerusi laporan cuaca di YouTube memaklumkan, hujan dan ribut petir dilaporkan hanya di perairan Selat Melaka dan sedang menuju ke Selangor sekali gus berpotensi menerima hujan tidak lama lagi.
“Negeri Sabah dan Sarawak pula, hujan hanya tertumpu di kawasan di Kudat dan Sandakan manakala, lain-lain kawasan cerah serta tiada hujan dicerap,” ujarnya menerusi video tersebut hari ini.
Dalam masa sama, rantau negara menerima pengaruh angin dari barat daya dengan dominasi kelajuan kurang 40 kilometer perjam.
“Jadi MetMalaysia tidak mengeluarkan sebarang amaran angin kencang dan laut bergelora buat masa ini. Justeru ia selamat bagi sebarang aktiviti perkapalan, bot kecil dan sukan rekreasi laut,” katanya.
Bagi cuaca sebelah petang, MetMalaysia memaklumkan bahawa hujan dan ribut petir berpotensi berlaku tetapi dengan intensiti lebih rendah terutama di pedalaman dan pantai timur Semenanjung.
“Lain-lain kawasan cerah serta tiada hujan,” katanya. -KOSMO! ONLINE