fbpx

Bilangan miskin tegar meningkat kepada 144,932

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bilangan ketua isi rumah miskin tegar meningkat daripada 44,829 pada tahun 2020 kepada 144,932 setakat 30 Jun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Mustapa Mohamed berkata, bilangan tersebut adalah berdasarkan data kemiskinan nasional e-Kasih.

“Ia susulan daripada penggunaan metodologi baharu serta impak pandemik Covid-19,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) mengenai bilangan terkini rakyat yang dikategorikan sebagai miskin tegar.

Mustapa berkata, salah satu sasaran dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

Menurut beliau, program itu adalah pelengkap kepada program sedia ada bagi menangani isu miskin tegar merentasi semua etnik di Malaysia.

Jelas beliau, program basmi miskin tegar bukan sesuatu yang baru sebaliknya sudah bermula sejak zaman kemerdekaan dan dipergiat dalam tahun 70-an melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB)

Kata beliau, bagaimanapun dalam BMTKM, kaedah dan pendekatan bagi membasmi kemiskinan tegar adalah lebih holistik.

“Unit basmi kemiskinan ditubuhkan di peringkat persekutuan, negeri dan daerah. Mengguna pendekatan keseluruhan negara berdasarkan masalah setempat.

“Penglibatan pelbagai pihak merangkumi universiti dan industri. Memperkenalkan dasar pemisah selepas tempoh dua hingga tiga tahun pelaksanaan,” katanya.

Tambah beliau, BMTKM akan dilaksanakan di 1,000 lokaliti dalam tempoh tiga tahun enam bulan dan fasa pertama di 80 lokaliti telah pun bermula.

Menurut beliau, program bagi meningkatkan pendapatan itu merangkumi pertanian, penternakan, keusahawanan, pemasaran serta pembangunan minda dan motivasi.

“Anggaran pendapatan tambahan adalah kira-kira RM300 sehingga RM1,000 sebulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI