SELEPAS beberapa bulan mendedahkan pertunangan kali kedua mereka pada April lalu, akhirnya pasangan selebriti popular Hollywood, Jennifer Lopez dan Ben Affleck melangsungkan perkahwinan pada hujung minggu lalu.
Beberapas sumber telah mengesahkan berita tersebut kepada PEOPLE bahawa Lopez, 52, dan Affleck, 49, mendapatkan lesen perkahwinan mereka di Clark County, Nevada.
Difahamkan pasangan itu melangsungkan perkahwinan secara ringkas dan kecil-kecilan.
“Perkahwinan mereka sangat-sangat sederhana. Mereka ingin berkahwin, jadi mereka terus sahaja melangsungkan perkahwinan,” kata sumber.
Malah, dalam beberapa keping gambar yang tersebar kelihatan pasangan tersebut cukup bahagia dan gembira dengan perkahwinan tersebut.
Namun, sehingga kini wakil daripada kedua-dua pasangan itu masih belum memberi sebarang kenyataan rasmi berhubung perkahwinan tersebut.
Terdahulu, Lopez dan Affleck pernah bertunang pada November 2002, namun hubungan tersebut gagal selepas mereka menunda perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada September 2003.
Pasangan itu kemudiannya membatalkan pertunangan secara rasmi pada Januari 2004.
Menerusi perkahwinan dengan bekas suami, penyanyi Marc Anthony, Lopez memiliki sepasang anak kembar, Emme dan Max yang berusia 14 tahun.
Manakala, Affleck pula memiliki tiga orang anak hasil perkahwinan dengan bekas isteri, aktres Jennifer Garner iaitu Violet, 16, Seraphina, 13 dan Samuel, 10.- KOSMO! ONLINE