JOHOR BAHRU – Seorang peniaga wanita mengalami kerugian lebih RM1 juta selepas terperdaya dengan sindiket Macau Scam yang menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Mei lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa yang berusia 50 tahun itu, semalam.
Menurut beliau, ‘pegawai LHDN’ menghubungi mangsa pada Mei lalu dan menakutkan mangsa dengan memberitahu wanita itu mempunyai tunggakan cukai atas nama syarikat milik mangsa.
“Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata suspek telah mengikut arahan dengan membuat pembayaran melalui 23 transaksi berbeza menerusi mesin deposit tunai berjumlah RM900,000 ke dalam 16 akaun berbeza.
“Mangsa kemudian turut menyerahkan akses perbankan dalam talian akaun bank berkenaan kepada suspek.
“Kemudian pada 16 Julai lalu, pengadu telah membuat semakan akaun bank miliknya dan mendapati, tujuh transaksi berjumlah RM122,300 telah dipindahkan tanpa pengetahuannya kepada beberapa pihak yang tidak kenali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kamarul Zaman, mangsa hanya mengesyaki ditipu pada 16 Julai lalu sebelum membuat laporan polis dan memaklumkan kerugian keseluruhan berjumlah RM1,022,300.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dimana siasatan juga meliputi penglibatan ‘keldai akaun’ sekiranya terlibat serta tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terbabit.
“Polis menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya panggilan melalui telefon yang mendakwa diri mereka sebagai pihak berkuasa,” ujarnya.
Sehubungan itu, orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) iaitu CCID Scam Response Centre, CCID Infoline dan Semak Mule dan juga Facebook rasmi JSJK Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan maklumat jenayah komersial. – KOSMO! ONLINE