TOKYO – Sepasang suami isteri warga emas di Jepun cedera parah di kepala dan lengan selepas diserang seekor beruang coklat yang besar, lapor akhbar Daily Star semalam.
Pasangan warga emas dengan identiti tidak didedahkan itu masing-masing berusia 78 dan 81 tahun.
Ketika kejadian, pasangan tersebut sedang bekerja di sebuah ladang, dekat dengan rumah mereka di bandar Matsumae, Hokkaido apabila serangan haiwan itu bermula.
Menurut polis, beruang tersebut pada awalnya menyerang mangsa wanita sebelum suaminya turut diserang ketika cuba melindunginya.
Penduduk tempatan di kawasan itu telah diberi amaran supaya sentiasa berwaspada ketika pemburu dari sebuah kelab tempatan sedang memburu haiwan tersebut.
Walaupun beruang coklat pada asalnya tidak menyerang manusia, ia boleh menjadi ancaman besar kerana sering menggunakan kekuatannya untuk mengangkat sesuatu dan menyerang mangsa dengan gigitannya dikatakan boleh menghancurkan tengkorak manusia. – Agensi