fbpx

Madu kelulut dijual hingga ke Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri, Mohamad Zahir, Muhammad Amaran dan Abdul Aziz menunjukkan salah satu log kelulut yang diternak mereka di Bandar Penawar, Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI – Bermula dengan sekadar hobi, tiga rakan karib kini berjaya menghasilkan produk yang mampu menjana pendapatan melalui projek ternakan kelulut yang diusahakan di Bandar Penawar di sini.

Mohamad Zahir Suhud, 57, berkata, ternakan itu diusahakan di kebunnya bersama dua sahabatnya, Abdul Aziz Hassan, 58, dan Muhammad Amaran Isa, 61.

Pada awalnya mereka hanya memiliki 10 hingga 15 log atau sarang kelulut, namun kini mempunyai hampir 200 log.

“Kami telah usahakan kelulut ini sejak enam tahun lalu. Saya bekas cef hotel, manakala dua sahabat saya bekas pekerja dalam bidang minyak dan gas di luar negara.

“Setelah bersara, mereka cuba untuk membela kelulut di kawasan perumahan, namun kea­daan tidak sesuai, jadi saya ajak mereka bela kelulut di kebun saya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, dalam sebulan, mereka mampu memungut hasil madu kelulut sehingga 40 kilogram dan kesemua madu itu dijual di dalam botol dengan berat 250 gram pada harga RM45.

Dalam sebulan ujarnya, mereka mampu meraih lebih RM7,000.

“Hasil idea bersama serta inovasi yang dilakukan, kami juga menghasilkan makanan tambahan multivitamin berasaskan ‘bee bread’ yang terdapat pada sarang kelulut.

“Bee bread’ atau roti lebah adalah makanan buat ratu kelulut. Ia amat kaya dengan protein untuk pemulihan sel badan dan tinggi sumber tenaga.

“Tambahan pula kelulut yang diternak di kebun ini mendapat debunga dari kawasan hutan di sini dan madunya memang amat berlainan berbanding di luar,” ujarnya.

Katanya, mereka juga merujuk kepada pakar dan doktor serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Universiti Teknologi Malaysia dan Jabatan Pertanian agar produk yang dihasilkan lebih selamat dan diyakini.

Ujarnya, kedua-dua produk yang diberi nama sebagai ‘honey remedy’ itu turut mendapat permintaan dari Singapura.

“Susulan permintaan yang tinggi, kami menyasarkan untuk menambahkan lagi bilangan log kelulut yang sedia ada kepada 500 log.

“Kami juga berhasrat untuk menjadikan kawasan kebun ini sebagai ecotourism yang mana pengunjung boleh mempelajari mengenai kelulut,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI