TOKYO – Seorang lelaki Jepun ditahan selepas membuat 9,313 tempahan tempat duduk dalam kereta api mewah dan tidak membayarnya, lapor laman berita Sora News.
Romancecar ialah kereta api ekspres terhad yang dikendalikan syarikat Odakyu Electric Railway. Ia menyediakan perkhidmatan dari Tokyo ke bandar Hakone dan Gotemba serta menawarkan pemandangan indah Gunung Fuji.
Romancecar lebih mewah dan tambangnya dua kali ganda lebih mahal berbanding kebanyakan kereta api lain. Penumpang akan dihidangkan makanan dan kereta api itu mempunyai tingkap tontonan khas memaparkan pemandangan semasa perjalanan.
Seorang penduduk berusia 48 tahun dari bandar Shinki, Saitama tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diterima ketika menaiki kereta api Romancecar lalu bertindak membalas dendam.
Menurut Jabatan Polis Metropolitan Tokyo, suspek membuat 9,313 tempahan tempat duduk pada Romancecar antara Mac hingga November tahun lalu tetapi tidak membayar atau menaikinya.
Kira-kira 90 peratus daripada tempahan itu adalah untuk tempat duduk di dek pemerhatian yang mempunyai pemandangan lebih cantik dan mendapat permintaan ramai.
Suspek mengaku bersalah atas pertuduhan itu setelah ditahan polis. Suspek mengatakan bahawa dia kecewa dengan pekerjaannya selain tidak menyukai sikap konduktor dan kru Romancecar.
Ketika menaiki kereta api tersebut, suspek menjadi marah apabila penumpang lain sedang minum dan bising di dek pemerhatian tetapi tiada kakitangan datang untuk menghentikan mereka.
Tiada penjelasan mengenai kerugian yang ditanggung syarikat dan cara suspek membayar untuk salah lakunya. – Agensi