LONDON – Pelancong yang memberi makan ikan di sebuah lokasi pelancongan di Britain dipersalahkan setelah hampir semua ikan di dalam tasik berkenaan mati, lapor akhbar Daily Star UK kelmarin.
Persatuan Memancing Ramsbottom melaporkan isu kematian ikan di Clarence Lido, Greater Manchester itu kepada Agensi Alam Sekitar awal tahun ini.
Mereka mendapat laporan tentang peningkatan jumlah ikan yang mati selepas semuanya mengalami jangkitan kuman.
Isu itu ternyata berpunca daripada makanan yang dibuang ke dalam air oleh pelancong yang cuba memberi ikan makan lalu mereput.
Situasi itu yang ditambah dengan kehadiran alga biru-hijau, telah mewujudkan ‘tempat pembiakan ideal’ untuk bakteria sehingga menyebabkan kawasan itu tidak sesuai untuk habitat ikan.
“Kehadiran bakteria dan kulat menyebabkan ikan tidak dapat sembuh daripada jangkitan yang dialami kerana persekitaran kurang baik dan membawa kepada kematian.
“Sebilangan besar ikan yang dijangkiti telah dimasukkan ke dalam tasik itu pada 2021.
“Disebabkan keadaan yang dihadapi, ikan-ikan itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan kemudiannya mati,” demikian laporan Agensi Alam Sekitar.
Persatuan memancing itu kini bekerjasama dengan penduduk tempatan untuk meningkatkan kesedaran kepada orang ramai tentang memberi ikan makan dengan ‘cara yang bertanggungjawab’ dan disokong oleh Agensi Alam Sekitar serta Majlis Bury.
Alga biru-hijau yang terdapat di dalam air juga berbahaya kepada anjing. – Agensi