fbpx

Gadis Machang bercita-cita jadi ahli farmasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang gadis pemalu dan sangat takut pada lipas dan cicak.

Kepayahan hidup keluarga dari golongan B40, menjadikan gadis kelahiran Kelantan pilihan Pesona Ahad minggu ini seorang yang berdikari dan sanggup me­ngorbankan kemahuan sendiri demi keluarga tersayang.
Nurul Nadjwa Khairul Affendi, 22, terpaksa melupakan cita-ci­tanya untuk menyambung pelajaran dalam bidang farmasi di sebuah universiti awam kerana tidak mahu memberi bebanan kewangan kepada ibu ba­panya.
Gadis mesra dipanggil Nawa ini sebaliknya memilih bidang pengajian lain yang menawarkan bantuan biasiswa untuk me­nyambung pelajaran tanpa perlu bergantung kepada sesiapa.
Kepada Kosmo! Ahad, gadis yang memiliki senyuman manis itu bercerita kisahnya menangis meluahkan kesusahan orang tua­nya ketika sesi temu duga bagi mendapatkan biasiswa menyambung pelajaran ke universiti.

NAWA impi lelaki pembersih dan memahami.

Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan tentang Nawa?
Nawa: Saya merupakan anak kelahiran Machang, Kelantan tetapi membesar di Selangor. Penuntut tahun akhir dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS), Pahang dan pengajian saya ditaja oleh Yayasan Tenaga Nasional (YTN).
Pada masa sama, merupakan pengasas dan pengarah krea­tif perniagaan tudung jenama Branca.Kl. yang diusahakan sejak Februari 2020 selain menjadikan content creator sebagai kerjaya sambilan untuk menambah pendapatan.

Belajar, berniaga dan pada masa sama aktif di media sosial tak penat?
Ya penat, tapi saya tidak memaksa diri untuk buat semua kerja dalam satu masa jika saya rasa tidak mampu bahagikan masa saya akan tolak tawaran untuk buat reviu di media sosial.

Boleh kongsi kesusahan keluarga Nawa sebelum ini?
Tidaklah sampai berlapar cuma perlu berjimat kerana mempunyai adik yang ramai. Sewaktu belajar di Maktab Rendah Sains Mara dulu, setiap bulan ibu ayah akan bagi wang saku RM50 dan ketika itu ada trip kelas dan perlu bayar RM70. Saya rasa agak tersisih kerana tidak dapat ha­dir.
Namun penga­laman itu me­ngajar diri ini menjadi seorang yang kuat berusaha dan keluarga menjadi keutamaan Na­wa.

Pencapaian terbesar dalam hidup Nawa?
Mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran termasuk 8A bagi Sijil Pelajaran Malaysia dan mendapat anugerah dekan di peringkat pengajian asasi dan ijazah.
Selain itu, saya juga pernah menerima Anugerah Pemasaran Media Sosial (Anugerah KSHAS Siswapreneur Biz 20/21).

Perancangan Nawa sebaik tamat belajar?
Serius dalam perniagaan dan merancang untuk masuk kelas serta belajar cara menguruskan perniagaan dengan betul. Ilmu ini perlu kerana selama ini bisnes tudung hanya sambilan kerana tumpuan kepada pelajaran.

Siapa Nawa lima tahun akan datang?
Seorang yang boleh menggembirakan dan memberi kese­na­ngan kepada keluarga. Saya mahu beli kereta besar dan selesa buat mereka selain hadiahkan ibu barang kemas dan bawa satu keluarga pergi melancong ke luar negara.

Ciri-ciri jejaka pilihan?
Penyabar, memahami, bertanggungjawab, suka melancong, pandai fotografi, matang dan pembersih. Buat masa ini, tiada perancangan kahwin sebaliknya kumpul duit dan enjoy.

Nawa yang orang tidak tahu.
Saya suka menari, takut gelap, kilat dan tempat tinggi selain binatang lipas, reriang dan cicak.

Bagaimana Nawa berdepan dengan cabaran kenaikan harga barang?
Hanya ada dua pilihan sama ada ingin berjimat cermat atau kerja lebih keras. Buat masa sekarang saya pilih berjimat cermat untuk berdepan dengan pelbagai kemungkinan yang berlaku di kemudian hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI