fbpx

Dua kali dikhianati amah, Ezzaty Abdullah nak jadi garang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EZZATY ABDULLAH

SUDAH menjadi kebiasaan untuk isi rumah setiap keluarga yang berkerjaya memiliki pembantu rumah bagi membantu menguruskan hal-hal seperti mengemas, memasak dan menjaga anak-anak.

Bagaimanapun, tidak semua pembantu rumah yang diambil bekerja itu memudahkan urusan. Sebaliknya, golongan pekerja yang diharapkan untuk meringankan beban majikan di rumah, memberi banyak masalah, malah tambah menyusahkan.

Begitu pengalaman yang dialami oleh pelakon, Ezzaty Abdullah apabila berdepan dengan pembantu rumah bermasalah sehingga menyakitkan kepalanya.

Bukan hanya sekali tetapi dua kali Ezzaty berdepan dengan pembantu rumah bermasalah apabila bertindak melarikan diri walaupun telah dilayan dengan baik olehnya.

Ezzaty ketika ditemui Pose baru-baru ini meluahkan perasaan kecewa, marah dan geram apabila dua kali pembantu rumahnya melarikan diri sehingga menyebabkan dia mengalami kerugian ribuan ringgit.

TIDAK serik menggunakan khidmat pembantu rumah, Ezzaty bagaimanapun berkata, mungkin selepas ini dia perlu menjadi lebih garang agar tidak lagi dikhianati. – AFIQ RAZALI

“Bukan sekali, tetapi dua kali pembantu rumah saya melarikan diri. Kedua-duanya pembantu rumah dari Indonesia. Sedangkan saya melayan pembantu rumah macam ‘ratu’.

“Pembantu rumah pertama lari sebab kena jaga bayi. Dia tidak tahu antara tugas yang perlu dilakukan adalah menjaga anak saya. Jadi dia beritahu tidak boleh lakukannya kerana tidak pandai jaga bayi.

“Saya minta bersabar sekurang-kurangnya untuk dua minggu kerana perlu mencari pengganti lain, tapi dia tidak sanggup dan akhirnya melarikan diri,” ujarnya.

Kata pelakon berusia 32 tahun itu lagi, selepas pembantu rumah itu melarikan diri, dia mencari pengganti juga dari Indonesia. Malangnya selepas sebulan, pembantu itu juga lari kerana mengikut seorang lelaki warga tempatan.

“Pembantu rumah kedua pula, ketika bulan pertama kerja tiada apa-apa masalah. Dia masak pun sedap. Jaga anak bagus. Buat kerja pun tidak perlu disuruh.

“Tetapi di sebalik ‘kebaikan’ yang ditunjukkan, rupa-rupanya dia ada banyak ‘jantan’ di sini (Malaysia) walaupun sudah berkahwin dan mempunyai suami di Indonesia,” jelas Ezzaty.

Kata pelakon drama The Maid itu lagi, rahsia tersebut terbongkar selepas dia merampas dan memeriksa telefon bimbit milik wanita terbabit gara-gara rancangannya melarikan diri bersama seorang lelaki warga tempatan ‘kantoi’.

Hasil pemeriksaan, Ezzaty terkejut kerana terdapat banyak mesej lucah dalam aplikasi Telegram antara wanita itu dengan berpuluh orang lelaki.

DISEBABKAN tuntutan kerja yang tidak menentu, Ezzaty terpaksa akur menggunakan khidmat pembantu rumah terutama bagi menguruskan dua anaknya yang masih kecil.

“Pembantu rumah saya yang kedua ini pula gila seks. Hantar gambar yang bukan-bukan dengan lelaki lain. Semuanya warga Malaysia.

“Saya sudah hantar dia pulang semula ke Indonesia walaupun terpaksa menanggung kerugian besar termasuk membelikannya tiket kapal terbang,” katanya.

Kata Ezzaty lagi, mungkin kerana sikapnya yang terlalu baik hati menyebabkan ‘kepalanya dipijak’.

“Ramai kata saya terlalu baik. Saya beri mereka telefon bimbit, tak pernah marah apatah lagi tinggikan suara. Kalau berjalan ke mana-mana, siap berpimpin tangan. Sebab saya tak anggap mereka seperti orang luar.

“Ini balasan mereka terhadap saya,” luahnya.

Ketika disoal sama ada serik atau tidak untuk menggunakan khidmat pembantu rumah selepas ini, isteri kepada pelakon Azwan Kombos itu memberitahu bahawa dia tiada pilihan lain kerana tetap memerlukan pertolongan untuk menguruskan hal-hal rumah kerana kesibukan jadual kerja.

“Saya tidak serik. Kami suami isteri sibuk dengan kerja. Mahu hantar anak ke rumah pengasuh, waktu kerja kadangkala menuntut saya pulang hingga awal pagi.

“Jadi mahu atau tidak, saya kena percaya dengan pembantu rumah baharu nanti. Cuma selepas ini mungkin saya perlu menjadi lebih garang?” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI