BERMULA dengan insiden provokasi seorang wanita mengaku Muslim bertindak menanggalkan pakaian dan tudung di sebuah kelab komedi sehinggalah melarat kepada polemik penutupan premis berkenaan, Crackhouse Comedy Club mencetuskan reaksi pelbagai.
Satu kejadian yang memercikkan kehangatan seluruh masyarakat negara ini kerana intipatinya berkaitan dengan sentimen agama dan bangsa.
Sebenarnya, apa yang terjadi juga merupakan tamparan dan pengajaran buat ramai pihak.
Disebabkan provokasi yang tercetus, pemilik premis terbabit tampil mempertahankan diri termasuklah mereka yang berkecimpung dalam dunia komedi seperti Datuk Afdlin Shauki dan Shahrol Shiro lantang memberikan pendapat masing-masing.
Berbeza pendapat bukan bermaksud mereka perlu bercakaran atau bermasam muka tetapi lebih kepada mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan.
Mengaku silap buat andaian
Afdlin atau nama sebenarnya, Afdlin Shauki Aksan akhirnya mengakui khilaf dan menegaskan beliau mengecam sekeras-kerasnya sebarang perbuatan menghina agama Islam di pentas lawak selepas terlebih dahulu membantah penutupan sementara kelab komedi tersebut.
“Berdasarkan info-info terkini yang diberikan oleh rakan-rakan dan seperti diterangkan dalam satu siaran langsung (live), saya dengan sekeras-kerasnya terus mengecam apa-apa perbuatan menghina agama di pentas lawak.
“Walaupun hanya segelintir, jika berterusan akan menjadi barah. Saya rasa jijik dan saya tak boleh lagi memberi sokongan kepada Crackhouse Comedy Club!
“Walaupun sokongan saya sebelum ini hanya bertujuan untuk kesinambungan rezeki pelawak-pelawak yang kebanyakannya mempunyai lawak berkualiti dan tak menghina sesiapa,” katanya menerusi satu hantaran Facebook.
Justeru, pengarah filem Buli itu menasihatkan kepada pelawak-pelawak ‘stand up’ (komedi solo) agar mencari tempat alternatif bagi terus memperoleh rezeki masing-masing.
Katanya, biarlah pihak berkuasa melakukan siasatan atas kejadian tersebut dan meletakkan hukuman sewajarnya buat mereka bersalah.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka mestilah menerima pembalasannya. Saya doakan agar adik-adik pelawak yang terkesan sentiasa dilindungi sewaktu dugaan ini dan rezeki kalian dimurahkan.
“Kita hanya boleh berjuang berdasarkan informasi yang diterima. Pada ketika ini, informasi ini membuatkan abang tidak boleh lagi menyokong agar Crackhouse terus dibuka,” jelasnya.
Ikan di laut asam di darat, dalam periuk bikin mufakat. Barangkali frasa tersebut sesuai digambarkan pertalian atau gabungan ideologi antara Afdlin dan Shahrol.
Mohon maaf
Shahrol, 37, memohon maaf kepada Afdlin jika kelantangannya sebelum ini ada terkasar bahasa dan mengguris persahabatan mereka.
“Syukur abang sudah tersedar. Ternyata seperti kenyataan abang ini sebab serangan politik dan ingin melakukan pembunuhan karakter abang tidak benar sama sekali.
“Ini adalah mengenai isu agama yang dijadikan bahan ‘stand up’ komedi yang telah melepasi garisan sepatutnya hingga jatuh kepada penghinaan.
“Tahniah kerana telah meletakkan kepentingan agama di hadapan. Jom kita buat ‘report’ agar tindakan tegas diambil. Terima kasih abang. Mohon maaf jika terkasar bahasa dan mengguris persahabatan kita,” tulisnya.
Selanjutnya, benar apa dikata Afdlin. Biarlah pihak berkuasa melakukan siasatan dan meletakkan hukuman setimpal buat mereka yang sengaja melanggar undang-undang.
Malaysia sememangnya negara yang sangat kaya dengan pelbagai budaya, adat resam dan pegangan agama. Jangan kerana kepentingan diri sendiri atau berhasad dengki sehingga sanggup membelakangkan keharmonian sejagat yang sudah tersusun cantik di depan mata.