SHAH ALAM – Sebanyak 36.8 juta pokok telah berjaya ditanam di seluruh negara melalui Kempen Penanaman 100 juta pokok menjelang 2025, setakat hari ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini merangkumi lebih 1,000 spesis dalam mewujudkan suasana persekitaran semula jadi yang segar dan memberikan kesedaran menghijaukan dan memelihara alam sekitar.
Katanya, kempen ini mengajak semua pihak sama ada sektor awam atau swasta dalam menjayakan gerakan penanaman pokok secara besar-besaran di seluruh negara.
“Kempen ini telah dimulakan sejak 5 Januari tahun lalu dan sebanyak 36.8 juta pokok telah berjaya ditanam seluruh negara, setakat hari ini.
“Sasaran bagi tahun lalu telah capai dan kita menyasarkan untuk menanam sebanyak 20 juta pokok setahun, pada tahun ini pula,” katanya ketika berucap pada pelancaran Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok di Taman Botani Negara di sini, hari ini.
Program itu dilancarkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.
Pada majlis itu juga, Noh turut melancarkan modul Pendidikan dan Pembelajaran ‘Sejuta Pokok Segunung Harapan’ untuk dimanfaatkan 2,460 koperasi sekolah di seluruh Malaysia dengan keanggotaan berjumlah kira-kira 1.97 juta anggota individu.
Takiyuddin memberitahu, usaha Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menanam sejuta pokok dalam tempoh dua tahun amat dihargai menyumbang kepada kelestarian alam.
Tambah beliau, inisiatif ini didapati selari dengan sasaran kedua Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2016-2025) iaitu meningkatkan sumbangan dan menggalakkan pihak swasta untuk terlibat dengan pemuliharaan dan pemeliharaan sumber biodiversiti. -KOSMO! ONLINE