DISEBABKAN magis tercipta daripada siri popular sains fiksyen Netflix, Stranger Things musim keempat, lagu klasik yang dinyanyikan penyanyi wanita Britain, Kate Bush berjudul Running Up That Hill (A Deal With God) mendapat ‘keadilan’ sewajarnya.
Selepas 37 tahun diluncurkan, lagu tersebut kini merupakan antara antem paling popular di dunia apabila menduduki tangga pertama Billboard Global 200.
Dalam laman penstriman muzik Spotify, lagu ‘pilihan’ karakter Maxine ketika berdepan Vecna unggul di tangga antara yang teratas meskipun bukan berstatus lagu baharu.
Jelas terbukti, kadang-kadang cita rasa pendengar sukar dijangka dan evolusi muzik berputar umpama satu bentuk bulatan. Akan tiba waktu kita mula menggali muzik yang pernah disajikan dan melahirkan apresiasi selayaknya.
Kekinian
Running Up That Hill dilancarkan pada 5 Ogos 1985 dan lagu ciptaan sepenuhnya Kate Bush berkenaan hanya meraih respons sederhana ketika bertemu halwa telinga peminat era tersebut.
Dari segi kualiti melodi, Running Up That Hill berjaya mengisi kekosongan atau kelompongan muzik pada era sekarang. Ramai yang mula berpusu-pusu ‘memandang’ semula karya-karya lama dan mencedok idea untuk merelevansikan lagu-lagu ‘baharu’ mereka.
Melodi muzik lama sememangnya mudah berbekas dalam jiwa sesiapa sahaja yang mendengar. Misalnya, lagu I Will Always Love You dendangan Dolly Parton ‘hidup’ mekar lebih lama berbanding lagu seperti WAP nyanyian Megan Thee Stallion.
Barangkali nilai estetika atau kejujuran hatta kepayahan merakamkan lagu pada era terdahulu dalam studio rakaman memberi kelebihan dari segi bunyi yang mempunyai longevity atau elemen kekinian tersendiri.
Muzik 1980-an
Justeru, atas sebab itu jugalah mengapa Running Up That Hill nyanyian Kate Bush yang lagunya sudah berusia hampir empat dasawarsa kini menjadi siulan ramai dan pilihan muzik dunia.
Secara peribadi, sebagai peminat tegar siri Stranger Things dan sebelum ini tidak pernah langsung mendengar muzik Kate Bush, penulis kian sedar lagu-lagu ciptaan dan dendangan penyanyi lama sememangnya berada dalam liga tersendiri.
Kate Bush sebagai contoh, biarpun bukanlah berstatus ‘vocal powerhouse’, setiap bait kata yang dilontarkannya dalam lagu tersebut mempunyai emosi dan signifikan tersendiri.
Dalam nyanyiannya, dapat dirasakan penegasan dan perjalanan emosi yang ingin disampaikan kepada para pendengar. Demikian kualiti hebat penyanyi lama yang jarang-jarang terkandung dalam diri penyanyi zaman sekarang.
Terima kasih untuk ‘Dear Billy’ dalam Stranger Things musim terbaharu kerana memperkenalkan semula Running Up That Hill, bukan hanya terhadap mereka yang lahir atau membesar pada era 1980-an tetapi buat generasi baharu yang kian cakna muzik membatasi segala-galanya.
Cabang seni unggul tersebut selayaknya memang tidak mengenal usia.