PASUKAN Tobaki Pink Racing percaya peningkatan pasukannya dari semasa ke semasa mampu membawa mereka kepada kejayaan dengan misi untuk mencari kemenangan ketika Kejuaraan Cub Prix Malaysia sudah memasuki pusingan kelima.
Prinsipal pasukan, Nur Atikah Azwar berkata, melihat kepada peningkatan pasukan, terutama jentera dianggap satu pencapaian terbaik mereka pada musim ini meskipun bersaing dengan pasukan berpengalaman lain.
Tegas Atikah, kali ini mereka mahu melupakan kehampaan sewaktu Terengganu dan kesemua pelumbanya tekad memburu podium menjelang perlumbaan pusingan kelima di Jempol, Negeri Sembilan.
“Sebenarnya saya gembira dengan pencapaian pasukan terutama prestasi pelumba yang meningkat pada setiap pusingan perlumbaan.
“Apa yang dicapai pasukan ketika ini sangat baik, terutamanya perkembangan jentera mahupun pengurusan pasukan yang lebih baik berbanding musim lalu.
“Jadi, menjelang perlumbaan di Jempol ini kami mahu bangkit dan tebus kekecewaan selepas mengalami masalah jentera di Terengganu.
“Saya yakin pasukan telah bekerja keras untuk menilai kerosakan jentera dan bersedia untuk memberi tentangan pada perlumbaan esok,” kata Atikah.
Pelumba sandaran kategori CP125, Harith Farhan Baharin terpaksa akur menamatkan saingan tempat kelapan, manakala Saiful Azhary Muhamad pula gagal menamatkan perlumbaan.