fbpx

Penyanyi ternama batal konsert atas faktor kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIGA nama besar dunia, (dari kiri) Celine Dion, Justin Bieber dan Adele berdepan penundaan konsert akibat masalah kesihatan dialami mereka.

SITUASI semasa yang memperlihatkan kebangkitan semula persembahan hiburan secara langsung terutama sambutan terhadap konsert selepas pandemik membuatkan ramai menarik nafas lega.

Sudah pasti ramai penghibur antarabangsa yang sudah merencanakan jadual konsert jelajah dunia sebelum serangan Covid-19 teruja untuk mengubati penantian peminat, apatah lagi selepas menunggu sekian lama.

Minggu ini Gala merangkumkan beberapa nama besar dunia yang berdepan isu penangguhan persembahan mega mereka disebabkan terkait dengan masalah kesihatan.

Justin Bieber

DALAM keghairahan peminat menanti penganjuran konsertnya, penyanyi Justin Bieber terpaksa menunda persembahan yang sebelum itu sudah tertangguh dua tahun berikutan serangan virus Ramsay Hunt.

Masih dalam fasa pemulihan selepas mengalami lumpuh pada sebelah muka, pengurusan penyanyi berusia 28 tahun itu juga belum memberikan sebarang makluman terkini mengenai persembahan di Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung pada Oktober depan.

Menurut sumber, Bieber kini berusaha menyempurnakan sesi rawatan terapi sebelum diberi pelepasan pakar sama ada dapat meneruskan konsert jelajahnya atau tidak.

Hakikatnya, kisah Bieber agak tragik apabila ini adalah kali kedua konsert jelajahnya tertunda. Pada Februari lalu dia positif Covid-19 sebaik mahu memulakan siri berkenaan.

JUSTIN terpaksa membatalkan penganjuran konsertnya pada tahun ini termasuk di Malaysia selepas diserang virus Ramsay Hunt yang melumpuhkan sebahagian wajahnya.

Begitupun, andai menyemak semula kalendar persembahan mega artis antarabangsa untuk tahun ini, bukan hanya konsert Justice World Tour 2022, bahkan beberapa artis lain turut berada dalam situasi serupa disebabkan masalah kesihatan.

Paling terkesan tentu saja mereka yang sudah merangka persinggahan membabitkan banyak negara luar hingga ke rantau Asia Tenggara.

Adele

JANUARI lalu, penyanyi kelahiran England, Adele mengumumkan penangguhan siri konsertnya di Las Vegas, Amerika Syarikat sehari sebelum persembahan sepatutnya berlangsung dalam linangan air mata.

Penangguhan tersebut dibuat selepas separuh dari tenaga kerja persembahan penyanyi itu dijangkiti Covid-19.

“Saya telah melakukan yang terbaik untuk memastikan kita dapat bersama kali ini, namun semuanya musnah akibat Covid-19.

“Saya memohon maaf, namun persembahan ini belum bersedia untuk diadakan,” kata penghibur berusia 34 tahun itu sambil menitiskan air mata.

Konsert siri Adele sepatutnya diadakan bermula 21 Januari lalu di The Colosseum di Caesars Palace sehingga 16 April.

Shawn Mendes

SHAWN Mendes merehatkan dirinya daripada terlibat dengan komitmen konsert bergerak demi mengutamakan kesihatan mentalnya.

Walaupun ketika itu sudah dua minggu menjayakan Wonder: The World Tour, penyanyi berusia 24 tahun itu menegaskan dia sudah berada pada titik puncak untuk memberi fokus terhadap diri sendiri.

SHAWN Mendes mengundur diri dari menjayakan konsert jelajahnya yang sepatutnya berakhir Ogos depan kerana ingin fokus terhadap diri sendiri.

“Saya berasa patah hati untuk berkongsi berita ini dengan anda semua, tetapi malangnya saya terpaksa menangguhkan persembahan selama tiga minggu.

“Saya menjayakan konsert jelajah sejak berusia 15 tahun dan sejujurnya, berada jauh dari keluarga dan rakan-rakan adalah sesuatu yang amat sukar,” katanya.

Mendes dijadualkan membuat persembahan di 87 lokasi di Amerika Utara dan Eropah yang dijangka berakhir pada Ogos tahun depan.

Celine Dion

PENYANYI Celine Dion terpaksa menangguhkan tarikh konsert Courage World Tour 2022 Mei lalu dan menjadualkannya semula pada tahun hadapan disebabkan isu kesihatan yang dialami.

Memaklumkan kecewa selain meminta maaf kepada peminat terutama di Eropah, penyanyi kelahiran Kanada itu pernah menangguhkan siri jelajah sama di Amerika Utara yang sepatutnya berlangsung dari 9 hingga 22 April pada awal tahun ini.

Terdahulu, pelantun lagu ikonik filem Titanic, My Heart Will Go On itu sudah menyempurnakan 52 persembahan fasa pertama sebelum Covid-19 menyerang dunia pada Mac 2020.

CELINE mengalami kekejangan otot sekali gus terpaksa meleburkan impiannya mengadakan konsert jelajah di Eropah dan Amerika Utara pada April lalu.

Bagaimanapun dia terpaksa mengambil keputusan mendapatkan rawatan akibat kekejangan otot.

Menerusi kenyataan media, penghibur berusia 54 tahun itu turut menyatakan proses pemulihannya mengambil masa lebih lama dari jangkaan sehingga dia terpaksa membatalkan persembahan di beberapa buah lokasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI