KUALA LUMPUR – Pentas Seni Merdeka kembali menghidupkan suasana ibu kota melalui pengaktifan ruang awam sekali gus memperkukuhkan ‘Downtown KL’ sebagai daerah budaya dan kreatif.
Acara julung kali yang diadakan di Jalan Raja di sini itu merupakan kolabrasi antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Think City.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, aktiviti dan infrastruktur kreatif dan budaya adalah penting dalam mewujudkan bandar raya yang lebih bertenaga.
“Ia bukan sahaja menyatukan keharmonian, malah kandungan sebegini juga mencetuskan kerjasama dan dialog, menyemarak ekonomi tempatan dan menggalakkan transformasi bandar.
“Kita berharap lebih banyak usaha kolaboratif dilaksanakan untuk menjadikan ruang awam lebih menarik untuk semua lapisan masyarakat,” katanya selepas merasmikan Pentas Seni Merdeka di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed.
Sementara itu, Hamdan Abdul Majeed berkata, ruang awam terbaik terhasil dari inisiatif yang dipacu komuniti termasuk citarasa kandungan kreatif dan budaya.
Katanya, melalui Pentas Seni Merdeka, Think City berhasrat untuk mewujudkan dan mengekalkan platfom seni awam di sini sebahagian daripda pelan strategik untuk membangunkan Kuala Lumpur sebagai pusat budaya dan kreatif.
“Ini termasuk mengumpul, mengaktifkan dan memulihkan aset sedia ada sambil merangsang rangkaian yang lebih luas dalam aktiviti ekonomi baharu serta meningkatkan kualiti daya huni,” ujarnya.
Pentas Seni Merdeka yang merupakan edisi pertama dari empat edisi yang akan datang, menampilkan tarian dan seni Ronggeng Melayu yang dikendalikan oleh Pusat Penyelidikan Seni Persembahan Nusantara (NusPARC).
Acara itu turut menampilkan pelbagai aktiviti lain termasuk persembahan dari Artis Budaya dan Kombo Budaya DBKL, bengkel terrarium, kedai makanan ringan tempatan dan ‘food truck’.
Edisi seterusnya akan diadakan pada setiap Sabtu kedua di Jalan Raja dengan edisi kedua dijadualkan pada 10 September diikuti pada 8 Oktober, 12 November dan 10 Disember. – KOSMO! ONLINE