fbpx

Komisen tak dapat, duit RM18,193 melayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarul Zaman

JOHOR BAHRU – Seorang mahasiswa di sebuah universiti awam tempatan mengalami kerugian sebanyak RM18,193 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji lumayan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa yang berusia 22 tahun membuat laporan berhubung kejadian terbabit, semalam.

Menurut beliau, mangsa tertarik dengan iklan yang ditawarkan melalui satu platform e-dagang yang popular dan dikenali ramai.

“Pada awal bulan lalu, mangsa terlihat iklan tawaran pekerjaan dengan bayaran komisen yang lumayan membuatkan mangsa menekan pautan diberi dan berkomunikasi dengan seseorang individu secara WhatsApp.

“Mangsa diyakinkan bahawa dia hanya perlu mengeluarkan modal awal untuk pembelian barangan dan akan memperoleh komisen sebanyak 10 peratus, beserta pulangan semula modal yang dikeluarkan.

“Tertarik dengan tawaran berkenaan, mangsa membuat pembayaran sebanyak RM18,193 ke dalam tiga akaun bank tempatan yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Kamarul Zaman, mangsa hanya menyedari ditipu selepas pihak yang menjanjikan tawaran berkenaan tidak memulangkan semula wang milik suspek beserta komisen yang dijanjikan.

“Sehubungan itu, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Siasatan yang dibuat juga akan meliputi sindiket ‘keldai akaun’.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat dalam kes berkenaan,” ujarnya.

Tambah Kamarul Zaman, pihaknya menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa yang singkat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI