SINGAPURA – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tetap mempertahankan keputusannya untuk berbelanja besar sehingga mencecah £85 juta (RM447 juta) bagi mendapatkan Darwin Nunez daripada Benfica.
Pengendali dari Jerman itu pernah mengkritik Manchester United kerana membelanjakan nilai hampir sama mendapatkan Paul Pogba daripada Juventus pada 2016, namun kali ini Klopp merasakan jumlah wang yang dibelanjakan adalah sesuai dengan peredaran semasa.
“Kamu sentiasa mahukan yang terbaik untuk membina pasukan dan membuahkan hasil. Semua orang dalam bola sepak pasti faham tentang perkara ini. Kelab lain boleh berbelanja dengan lebih banyak bagi mendapatkan pemain terbaik tetapi saya mahukan kelainan.
“Apabila kamu menandatangani penyerang seperti Nunez, inilah harga yang perlu dibayar. Saya pernah berkata tentang banyak perkara, namun hakikatnya imaginasi saya ternyata tidak betul kerana ia (yuran perpindahan) boleh berubah mengikut peredaran.
“Saya berbelanja kerana saya mahu membina pasukan seperti yang dilakukan Barcelona. Kamu boleh memenangi kejuaraan tetapi segalanya bergantung kepada apa yang kamu mahukan,” katanya.
Keputusan Liverpool untuk mendapatkan Nunez dengan rekod perpindahan termahal kelab itu bagi menggantikan ketiadaan Sadio Mane yang berhijrah ke Bayern Munich.
Disebabkan itu, Klopp merasakan beliau tiada banyak pilihan kecuali mengubah pendiriannya walaupun mengakui terkejut dengan nilai yang perlu dibayar pasukannya bagi mendapatkan khidmat Nunez.
Sehubungan itu, Klopp berharap kehadiran Nunez mampu membawa impak hebat kepada The Reds dalam misi memburu lebih banyak kejuaraan pada musim depan. – AGENSI