fbpx

Kanak-kanak maut dijerut tiada kesan penderaan lampau – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rmah yang disyaki menjadi lokasi penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan di Taman Bukit Tropika, Yong Peng, Batu Pahat, Johor, semalam.

BATU PAHAT – Polis menafikan dakwaan bahawa kanak-kanak yang ditemui maut di dalam sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng dekat sini kelmarin adalah mangsa penderaan ahli keluarga.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, hal itu kerana siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan lampau yang dijumpai pada tubuh badan kanak-kanak tersebut.

Sebaliknya beliau memberitahu, selain kesan jerutan di leher, hanya terdapat luka di bahagian dahi kanak-kanak berkenaan dipercayai akibat berlaku pergelutan ketika kejadian.

“Siasatan mendapati punca kematian kanak-kanak terbabit akibat dijerut di bahagian lehernya, sementara tiada tanda-tanda kanak-kanak itu mengalami penderaan kerana tiada kesan kecederaan lampau didapati di tubuh badan mangsa.

“Sebaliknya hanya terdapat sedikit luka di bahagian dahi mangsa, dipercayai berlaku ketika pergelutan antara mangsa dan suspek,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberitahu mayat kanak-kanak berusia 11 tahun itu ditemukan di kediaman keluarganya pada pukul 4.55 petang.

Beliau dilaporkan berkata, keterangan saksi sudah diambil manakala mayat mangsa dirujuk ke Bahagian Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail bagi proses bedah siasat.

“Susulan kejadian itu, ibu mangsa yang berusia 34 tahun telah ditahan reman untuk membantu siasatan kerana keterangan diberikan tidak konsisten daripada saksi-saksi.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 21 Julai untuk membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI