Oleh ROHANA ISMAIL
TUMPAT – Isteri kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian petang tadi.
Wan Roslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor dalam satu hantaran di Facebook miliknya memaklumkan, isterinya, Wan Norihan Wan Ab. Rahman, 54, meninggal dunia di hospital berkenaan kira-kira pukul 6.55 petang tadi.
Pegawai Khas kepada Wan Roslan, Anas Karimi Ahmad Thani berkata, arwah sebelum ini dilaporkan menghidap penyakit jantung dan baru selesai menjalani pembedahan pintasan atau ‘bypass’ di sebuah hospital swasta selepas Aidilfitri baru-baru ini.
Menurutnya, arwah sekali lagi dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah paru-paru berair dan dimasukkan ke unit rawatan rapi sebuah hospital swasta selama 26 hari sebelum dipindahkan ke HUSM.
Tambahnya, jenazah Wan Norihan akan dikebumikan di Kampung Kutan di sini malam ini. – KOSMO! ONLINE