BANDAR RAYA MEXICO – Seramai 14 orang terbunuh apabila sebuah helikopter tentera terhempas di barat laut Mexico semalam, kata tentera laut negara berkenaan.
“Sebuah helikopter Black Hawk terbabit dalam kemalangan. Puncanya tidak diketahui buat masa ini,” demikian menurut satu kenyataan.
Kenyataan sama menyebut, helikopter itu membawa 15 orang dan mangsa tunggal yang terselamat masih menerima rawatan selepas nahas berlaku di negeri Sinaloa.
Menurutnya, helikopter itu terhempas semasa melakukan operasi yang tidak didedahkan.
“Tentera laut berkabung atas kematian mangsa-mangsa dalam kemalangan ini yang berkhidmat dan berjasa kepada negara,” kata kenyataan itu.
Nahas tersebut bagaimanapun dipercayai tiada kaitan dengan penangkapan seorang raja dadah yang dikehendaki Amerika Syarikat (AS) kelmarin kerana membunuh seorang ejennya yang sedang dalam penyamaran,” tambahnya.
Rafael Caro Quintero dituduh oleh AS sebagai bertanggungjawab mengarahkan penculikan, penyeksaan dan pembunuhan ejen khas Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA), Enrique Camarena dalam tahun 1985.
Dia ditahan oleh anggota-anggota tentera marin Mexico di bandar Choix, negeri Sinaloa. – AFP