BARCELONA – Barcelona dilaporkan telah memberitahu Frenkie de Jong supaya meninggalkan kelab berkenaan selepas gergasi Sepanyol itu bersetuju dengan tawaran bernilai £63 juta (RM331.63 juta) daripada Manchester United.
The Catalans juga dikatakan bakal menerima tambahan £8.5 juta (RM44.74 juta) lagi secara berperingkat sekali gus dilihat mampu menampung masalah kewangan dialami ketika ini.
Bagaimanapun, De Jong didakwa masih belum mencapai kata sepakat dari segi terma kontrak dengan United kerana pemain tengah itu enggan berhijrah keluar dari Camp Nou.
Bintang skuad antarabangsa Belanda itu tidak berminat untuk meninggalkan Barcelona yang merupakan kelab idamannya sejak kecil walaupun dia berpeluang membuat ‘reunion’ dengan pengurus United, Erik ten Hag di Old Trafford.
Biarpun sudah mencapai persetujuan dari segi yuran perpindahan, namun Barcelona masih perlu mencari jalan untuk memujuk De Jong memandangkan dia juga tidak mahu menerima potongan gaji jika mahu kekal bersama kelab itu.
Difahamkan, pengurusan tertinggi Barcelona telah meminta De Jong untuk memotong gajinya sebanyak £5 juta (RM26.32 juta) setahun atau mencari pasukan baharu musim depan.
Ini kerana, ketua jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez tidak merasakan De Jong sebagai pemain paling sesuai untuk beraksi di posisi tengah bertahan dalam perancangannya.
Keengganan De Jong berhijrah bakal memberikan masalah kepada Barcelona kerana mereka tidak boleh mendaftar pembelian baharu daripada Leeds United, Raphinha. – AGENSI