BALING – Seramai 1,059 pelajar dari 17 buah sekolah rendah serta 10 buah sekolah menengah yang terjejas kepala air dan banjir di Kupang di sini pada 4 Julai lalu bakal memulakan persekolahan pada esok.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abd. Rahim berkata, kesemua pelajar diberi kelonggaran memakai baju biasa sekiranya masih belum dapat menyediakan uniform sekolah akibat terjejas bencana.
“Pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baling telah mengeluarkan pekeliling kepada semua sekolah terlibat membenarkan pelajar memakai pakaian biasa sekiranya tidak sempat menyediakan pakaian sekolah pada hari pertama persekolahan selepas ditimpa bencana.
“Jika belum ada baju sekolah, boleh datang pakai baju biasa, pakai t-shirt pun boleh, mereka boleh ambil sumbangan uniform baharu di sekolah masing-masing yang telah disediakan buat mangsa,” katanya kepada pemberita pada Program Agihan Set Seragam Sekolah bagi mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, Kupang di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua 1,059 pelajar yang terjejas itu telah diperuntukkan uniform sekolah baharu dalam usaha menyuntik semangat dan motivasi agar mereka dapat meneruskan persekolahan seperti biasa.
“Sebanyak 1,000 set pakaian sekolah termasuk beg dan kasut disediakan Pusat Khidmat Parlimen Baling manakala 500 set lagi disumbangkan UDA Holdings Berhad.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kejar Akhirat Bersama (KAB) dari Gombak yang turut menyediakan 700 set alat tulis dan botol air dalam majlis sama.
Dalam perkembangan lain, katanya, mangsa dari tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) sudah mula pulang ke rumah bagi proses pembersihan manakala 17 mangsa yang kehilangan rumah akibat musnah dan hanyut telah diberikan bantuan wang ihsan sewa rumah selama enam bulan juga telah berpindah ke rumah sewa masing-masing. – KOSMO! ONLINE