KUALA LUMPUR – Kegiatan tiga lelaki termasuk seorang warga emas memburu secara haram di kawasan Tapak Ramsar Tasek Bera, Pahang berjaya dikesan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) baru-baru ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia lingkungan 34 hingga 72 tahun.
“Operasi ini hasil kerjasama Perhilitan, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Veteran Angkatan Tentera dan Orang Asli (VeTOA).
“Kita merampas pelbagai barangan dipercayai untuk kegiatan memburu seperti dua laras senapang angin, 40 biji guli, sebilah pisau dan telefon bimbit.
“Mereka ini disyaki pemburu haram dan menyimpan dua ekor hidupan liar disyaki Pelanduk tanpa kebenaran daripada Perhilitan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kesemua yang ditahan telah dibawa ke Balai Polis Triang, Pahang untuk siasatan lanjut.
“Mana-mana orang yang menjalankan aktiviti tangkapan (memburu), menjual atau menyimpan apa-apa hidupan liar yang disenaraikan di dalam Akta 716 tanpa sebarang lesen permit atau permit khas boleh didenda sehingga maksimum RM1 Juta dan penjara sehingga 15 tahun.
“Sebarang aduan dan maklumat boleh salurkan kepada Perhilitan di talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.