MELAKA – Kira-kira 120 peniaga di Pantai Puteri di sini disifatkan bersikap sambil lewa apabila meninggalkan besi khemah masing-masing di bahu jalan sehingga merisikokan pengguna jalan raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, keadaan itu dapat dilihat di sepanjang 2.5 kilometer di pesisiran pantai berkenaan.
Ujarnya, tindakan itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan pantai itu sebagai lokasi pelancongan, malah membahayakan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.
“Sebelum ini telah berlaku kemalangan melibatkan penunggang motosikal yang merempuh peralatan niaga ditinggalkan di bahu jalan.
“Jadi, kita minta kepada peniaga ini untuk bersikap lebih bertanggungjawab dan ikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu tidak meninggalkan barang di bahu jalan selepas selepas niaga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program pendengaran Awam, Sejahterakan Bandarayaku #PantaiKundor Dihatiku di Kompleks Japerun Pantai Kundor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua penjaga di kawasan itu akan diberikan notis peringatan melalui pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam masa terdekat.
“Kita tidak menghalang warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor untuk berniaga lebih-lebih lagi dalam kegawatan ekonomi selepas terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Tetapi perlulah ikut peraturan, janganlah sampai tempat parkir kenderaan pun dijadikan stor tempat letak barang niaga,” katanya.
Tuminah berkata, Pantai Puteri telah diisytiharkan sebagai lokasi tumpuan pelancongan Melaka dengan jumlah pengunjung melebihi 5,000 pada Sabtu dan Ahad.-KOSMO! ONLINE