SEREMBAN – Sebuah stor haram yang dikesan menyimpan 31,215 liter minyak diesel bersubsidi diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Kampung Bemban Hilir di sini semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd Muis Samsudin berkata, ketika serbuan pada pukul 5.30 petang itu, terdapat empat orang lelaki sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan minyak diesel daripada sebuah lori tangki dan sebuah lori bonded yang diubahsuai ke dalam tangki-tangki minyak yang berada di kawasan stor berkenaan.
“Menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, empat orang suspek tersebut cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 11 unit tangki petak dan sebuah skid tank (tangki) berisi dengan minyak diesel yang dipercayai telah dipindahkan daripada lori-lori berkenaan melalui hos,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Abd Muis, kesemua suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 29 hingga 42 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.
“Semakan yang dilakukan dengan suspek yang ditemui juga mendapati premis yang diserbu tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel.
“Hasil serbuan ini, sebanyak 31,215 liter minyak diesel, sebuah lori tangki, sebuah lori bonded yang diubahsuai, sebuah skid tank, tangki-tangki petak dan peralatan digunakan untuk kerja-kerja pemindahan diesel telah disita bagi tujuan siasatan dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM 269,912.25,” katanya.
Jelas beliau, modus operandi sindiket disyaki dengan menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat penyelewengan minyak diesel bersubsidi sejak enam bulan yang lalu.
“Lokasi stor yang agak terpencil juga menjadikan sindiket ini sukar dikesan pada peringkat awal penjejakan.
“Kejayaan kes ini adalah hasil maklumat risikan yang telah dijalankan oleh KPDNHEP Negeri Sembilan yang mendapati terdapat aktiviti pembelian diesel daripada stesen minyak oleh lori tangki berkenaan di sekitar bandar Seremban dan disyaki berlaku aktiviti penghantaran dan penyimpanan di lokasi sasaran,” katanya.
Abd Muis berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Seksyen 20 (1) akta yang sama kerana menyimpan barang kawalan ditempat yang tidak dilesenkan.
“Pihak KPDNHEP Negeri Sembilan akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan terhadap penyelewengan minyak diesel di negeri ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan sindiket.
“Para peniaga dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP di dalam jalan perniagaan dan perdagangan masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE.