PETALING JAYA – Pihak pembelaan yang mewakili pelakon dan pengacara popular, Awal Ashaari bercadang mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan pertuduhan merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara, yang dihadapinya.
Perkara itu dimaklumkan peguam Hamizah Sobree yang mewakili selebriti itu dalam sebutan semula kes di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Menurut peguam tersebut, bagaimanapun pembelaan terlebih dahulu perlu meneliti dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan sebelum menghantar representasi.
Sementara itu, sejurus selepas prosiding ketika ditanya sama ada pembelaan akan memohon agar pertuduhan digugurkan, Hamizah berkata, perkara itu tertakluk kepada keseluruhan dokumen yang akan diterima kelak.
Terdahulu semasa prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Ab. Manaff berkata, pihaknya sudah menyerahkan beberapa dokumen berkaitan pertuduhan kepada mahkamah dan sedang menunggu laporan forensik untuk disiapkan.
Majistret Muhammad Iskandar Zainol kemudian menetapkan 25 Ogos ini untuk satu lagi tarikh sebutan bagi penelitian dokumen.
Mahkamah memaklumkan, pihak pembelaan boleh menghantar representasi jika kesemua dokumen telah diterima.
Pada 17 Mei lalu, Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara, April lalu.
Mengikut pertuduhan, Awal didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan Challis Damansara dengan kerugian sebanyak RM600 di pondok pengawal perumahan itu sini di Jalan PJU 3/30 pukul 11.30 pagi pada 16 April lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Awal kemudian dibebaskan dengan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin. – KOSMO! ONLINE