BANGKOK – Polis Thailand menembak dan mencederakan seorang lelaki bersenjatakan bom tangan yang menahan seorang wanita sebagai tebusan selama tiga jam dalam kejadian di wilayah Khon Kaen semalam, lapor laman berita Thaiger.
Pada pukul 9 pagi (waktu tempatan), Balai Polis Muang di Khon Kaen menerima aduan mengenai seorang gelandangan melakukan rompakan.
Polis bergegas ke tempat kejadian di mana mereka menemui perompak tersebut. Mereka memeriksa suspek dan menemui sepucuk senjata api berisi peluru.
Lelaki itu bercakap merapu dan dipercayai mengambil dadah, kata polis.
Suspek kemudian mengeluarkan sebutir bom tangan sebelum melarikan diri. Dia berlari keluar masuk dalam beberapa buah rumah sebelum memasuki sebuah kedai membaiki motosikal.
Suspek seterusnya menangkap isteri pemilik kedai dan dua anaknya. Lelaki itu menahan wanita tersebut sebagai tebusan, manakala dua anak mangsa berjaya melarikan diri.
Setelah ditanya oleh polis, lelaki itu berkata bahawa dia mahu berjumpa isterinya tetapi mereka mendapati suspek belum berkahwin.
Selepas rundingan selama beberapa jam gagal, polis meminta bantuan Pasukan Taktikal dan Senjata Khas (SWAT). Mereka bertindak menembak lelaki itu pada bahu kirinya dan menyelamatkan tebusan.
Polis kemudian merampas bom tangan dan menyerahkannya kepada Unit Pelupusan Senjata Letupan Khon Kaen.
Suspek yang cedera dibawa ke Hospital Khon Kaen untuk mendapatkan rawatan. Apabila sembuh, dia akan dibawa ke Balai Polis Mueang Khon Kaen untuk disoal siasat. – Agensi