fbpx

Polis buru lelaki buat panggilan palsu bunuh isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MELAKA – Polis sedang memburu seorang lelaki yang membuat panggilan palsu mendakwa dia telah membunuh isterinya di sebuah rumah bernombor di Ayer Keroh, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki tersebut membuat panggilan kecemasan di Balai Polis Ayer Keroh pada pukul 7.30 malam mendakwa telah membunuh isterinya di sebuah rumah bernombor.

Katanya, berdasarkan panggilan tersebut sepasukan 20 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi sebelum mendapati maklumat diberikan adalah palsu.

“Pasukan polis termasuk Unit Forensik melakukan pemeriksaan di alamat diberikan dan mendapati rumah tersebut didiami individu lain.

“Siasatan di sekitar kawasan perumahan itu juga tidak menemui sebarang petunjuk berkaitan maklumat disalurkan pemanggil,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, susulan itu pihaknya kini sedang mengesan pemanggil yang dipercayai berusia 33 tahun itu atas kesalahan membuat panggilan palsu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, sabit kesalahan pemanggil boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

“Pihak polis memandang serius perbuatan laporan palsu sebegini dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka sebagai pengajaran kepada masyarakat.

“Perbuatan itu menyusahkan pasukan polis kerana terpaksa menyiasat sesuatu kes yang sama sekali tidak berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI