fbpx

Perkeso gantung bayaran Penjana Kerjaya RM423 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mengambil tindakan proaktif dengan menggantung bayaran Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) berjumlah RM423 juta.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan, tindakan itu diambil disebabkan terdapat majikan yang mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana Penjana Kerjaya sejak bulan Mei tahun lalu.

“Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang diamanahkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif Kerajaan semasa tempoh pandemik Covid-19, Perkeso memandang serius isu penyelewengan ini kerana bantuan kewangan kerajaan bertujuan untuk meringankan beban pihak yang layak serta benar-benar memerlukan, mengikut syarat dan kaedah yang ditetapkan.

“Tindakan penggantungan bayaran tersebut dibuat berdasarkan penganalisian data dan pemantauan berterusan oleh Bahagian Anti Fraud, Etika & Integriti (AFEI), Perkeso,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Mohammed Azman berkata, Perkeso komited untuk terus memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan siasatan berhubung kes tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan di seluruh negara melalui Ops Hire.

“Perkeso amat menekankan nilai integriti, kejujuran dan amanah dalam pengagihan bantuan kewangan kerajaan kerana ia melibatkan dana awam,” ujarnya.

Tambahnya, sehingga kini, jumlah bayaran yang telah dibuat oleh PERKESO kepada para majikan dan pekerja di bawah Program PenjanaKerjaya adalah sebanyak RM2.34 bilion, membabitkan seramai 45,379 majikan bagi menempatkan 327,789 pencari kerja ke dalam pekerjaan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI