LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan sebuah bot pukat tunda dan menahan tiga nelayan warga Thailand kerana menangkap ikan di kawasan larangan tidak jauh dari perairan Pulau Talang, dekat sini semalam.
Menurut Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Mohd. Hambali Ya’akup, bot nelayan tempatan kelas B itu dikesan pada kedudukan 7.2 batu nautika barat laut Pulau Talang sekitar pukul 11 malam.
“Tangkapan itu dilakukan oleh bot ronda APMM berikutan aduan yang diterima daripada komuniti nelayan tempatan mengenai kehadiran bot pukat tunda di perairan Pantai Remis, dekat sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil pemantauan, pasukan operasi APMM melakukan pemintasan ke atas bot tersebut dan pemeriksaan awal mendapati ia dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong warga Thailand yang memiliki permit dan dokumen pengenalan diri yang sah dalam lingkungan umur 34 hingga 59 tahun.
Jelasnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 30 kilogram ikan di atas bot itu yang merupakan hasil tangkapan mereka menggunakan pukat tunda. – KOSMO! ONLINE