LAS VEGAS – Petinju berpengaruh Amerika Syarikat (AS), Floyd Mayweather sedia keluar daripada persaraan pada tahun ini sekiranya ada mana-mana pihak mampu menawarkan ganjaran tunai sebanyak AS$200 juta (RM888.4 juta).
Mayweather sebelum ini mengumumkan persaraan sebagai atlet tinju profesional selepas menewaskan jaguh Republik Ireland, Conor McGregor pada 2017 dengan rekod tanpa kalah dalam 50 pertarungan yang diharungi sepanjang karier.
Namun, petinju berusia 45 tahun itu kekal aktif di atas gelanggang dengan menerima pelawaan pada pertarungan pertunjukan menentang beberapa bintang sedang meningkat naik seperti Tenshin Nasukawa, Logan Paul dan Don Moore.
Kini, Mayweather berharap ada pihak sanggup menawarkan wang tunai lumayan untuk kembali aktif secara profesional selepas terdapat dakwaan mengatakan dirinya sudah ‘muflis’ dan tidak kaya seperti dahulu.
“Saya memiliki jadual padat pada tahun ini kerana ada tiga pertarungan yang perlu diharungi dengan dua daripadanya adalah aksi pertunjukan. Satu lagi adalah pertarungan secara profesional yang belum boleh didedahkan secara terperinci.
“Ini kerana saya hanya akan kembali daripada persaraan sekiranya mendapat tawaran sekurang-kurangnya AS$200 juta,” kata Mayweather yang pernah menjulang 15 tali pinggang juara dunia sebelum ini.
Pada pertarungan profesional terakhir bertemu McGregor, Mayweather berjaya meraih wang tunai sebanyak AS$280 juta (RM1.2 bilion), manakala McGregor pula membawa pulang ganjaran berjumlah $130 juta (RM577 juta). – AGENSI