MALAYSIA menjulang trofi Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) buat kali kedua selepas menundukkan Laos 2-0 di Stadium Patriot Chandrabhaga, sebentar tadi.
Selain melunaskan misi balas dendam ekoran kekalahan kepada lawan sama di peringkat kumpulan, pasukan negara nyata begitu bernafsu untuk melengkapkan kempen dengan penuh gemilang selepas menyingkirkan Vietnam di separuh akhir.
Terdahulu, skuad negara hanya memerlukan 15 minit untuk terlebih dulu berada di depan menerusi jaringan pemain pertahanan, Faiz Amer Runnizar.
Bagaimanapun, baki aksi di babak pertama menyaksikan Laos lebih mendominasi permainan sambil Malaysia seakan terus mengharapkan magis menerusi serangan balas pantas.
Disiplin tinggi pertahanan negara berjaya menafikan hasrat Laos untuk meledak gol penyamaan malah minit ke-38 penjaga gol negara, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri turut pamer aksi tangkas ketika menghalang percubaan jarak dekat oleh Anantaza Siphongphan.
Berbeza dengan aksi di babak pertama, anak buah Hassan Sazali Waras tampil lebih baik di babak kedua hingga memaksa benteng Laos bekerja keras untuk menghalang gerakan dilakukan pemain negara.
Bagaimanapun, memasuki minit ke-76, kem negara kembali ceria selepas Aliff Izwan Yuslan berjaya memanfaatkan kelekaan pertahanan lawan untuk menyudahkan hantaran jauh daripada Alif Farhan Fauzi.
Sementara itu, Vietnam yang ditewaskan Malaysia di peringkat separuh akhir menamatkan saingan kali ini di tempat ketiga dengan menewaskan Thailand 5-3 pada penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam permainan sebenar. -KOSMO! ONLINE