fbpx

Kembalikan SOP Covid-19 di sekolah kekang influenza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SEKARANG memang ‘musim’ anak-anak demam, kalau lalu tepi klinik memang penuh budak-budak sakit ingin mendapatkan rawatan.

Dalam satu klinik ada kalanya sampai 20 pesakit, keadaan itu berlaku tidak kira siang, malam, pagi dan petang.

Penulis sendiri ada anak yang sudah dua minggu batuk tidak sembuh-sembuh lagi.

Air lemon, cengkih, madu dan ubat batuk sudah ditelan tetapi tetap tidak sembuh lagi.

Menurut seorang doktor di sebuah klinik swasta yang dikunjungi, batuk tidak sembuh-sembuh itu disebabkan pergaulan kanak-kanak ke sekolah.

Apabila ramai kanak-kanak sebaya yang mengalami gejala hampir sama menyebabkan antara mereka sukar untuk sembuh dengan cepat.

Selain itu faktor penyebab batuk iaitu debu pendingin hawa dan habuk pada karpet.

Jangan lupa juga faktor serumah dengan perokok juga penyumbang kepada masalah batuk yang tidak sembuh-sembuh dalam kalangan anak-anak.

Berbalik kepada doktor klinik itu, dia menyarankan agar kanak-kanak di kantin sekolah makan dalam keadaan penjarakan, tidak terlalu dekat dan jika boleh makan seperti ketika pandemik Covid-19.

Ketika pandemik Covid-19 anak-anak makan dalam kelas dengan meja dijarakkan antara satu sama lain, perkara itu memang mengurangkan jangkitan penyakit ketika itu.

Pada pandangan penulis, memandangkan ketika ini demam influenza dengan gejala batuk, demam dan selesema semakin menjadi-jadi di sekolah, ada baiknya duduk jarak-jarak dengan prosedur operasi standard (SOP) ketika Covid-19 dilakukan segera.

Setiap hari laporan tidak hadir ke sekolah hampir 10 orang sekelas dengan gejala batuk, demam dan selesema semakin bertambah selepas cuti Aidiladha ini.

Pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan perlu berbuat sesuatu, kasihan juga kepada ibu bapa yang bergaji cukup-cukup makan apabila perlu membawa anak kerap ke klinik mendapatkan rawatan.

Memang ada Klinik Kesihatan yang hanya caj RM1 tetapi tidak semua kawasan ada kemudahan itu, kalau anak sudah ‘lembik’ klinik swasta juga kesudahannya.

SOP di sekolah seperti pandemik perlu digerakkan segera, umpamanya beli makanan di kantin dan makan di meja masing-masing.

Seperti kata pesakit yang telah kena influenza, rasa sakit tu lebih sakit daripada kena Covid-19 (selepas terima suntikan) dan lambat sembuh. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI