fbpx

Gjie tak keluar 6ixth Sense, cuma berehat sementara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DISEBABKAN tuntutan komitmen lain, Gjie terpaksa berehat seketika daripada terlibat dengan aktiviti bersama 6itxh Sense sekali gus menafikan dia keluar dari kumpulan itu.

KUALA LUMPUR – Pemain gitar, Gjie mengakui hanya berehat seketika daripada aktiviti bersama kumpulan 6ixth Sense, bukan mengundurkan diri secara rasmi seperti yang disangka ramai.

Kata pemilik nama penuh, Mohd. Faiz Azizi Arlis itu, keputusan tersebut dipersetujui secara bersama berikutan komitmen tugasnya, selain enggan mengganggu kelancaran album baharu 6ixth Sense yang akan dilancarkan dalam tempoh terdekat.

“Sebenarnya saya cuma berehat sementara dengan kumpulan 6ixth Sense kerana komitmen dengan sebuah stesen radio, tetapi tempoh tersebut belum dapat lagi saya tentukan.

“Perkara ini lebih kepada komitmen kerana saya tidak mahu memberikan bebanan atau melambatkan perjalanan kerjaya Sixth Sense yang akan tampil dengan album baharu.

“Sudah pasti usaha untuk merealisasikan sebuah album memerlukan tumpuan penuh. Selepas berbincang, saya ambil keputusan berehat seketika. Tetapi kalau mereka perlukan khidmat saya untuk ‘show’, tiada masalah.

“Jadi saya tidak berani hendak cakap saya keluar terus, takut nanti saya sambung semula pula. Kita tak tahu apa jadi pada masa depan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Sixth Sense dianggotai Adi Priyo Sambodo, 39 (Adi) selaku vokalis, pemain dram, Safuan Hasnan, 35, (Wan), pemain bass Mohd. Fairos, 37, (Ayoy), pemain gitar Shahrul Effendy, 40, (Atan) serta ahli baharu pemain gitar Mohd. Zairul Azreen Shah, 32, (Harry).

Mereka kini tampil dengan single terbaharu berjudul Tremendous.

Terdahulu, pada awal tahun lalu Gjie mendedahkan tidak lagi bersama kumpulannya selepas lebih 15 tahun berjuang bersama-sama.

Perkara berkenaan didakwa berpunca akibat perbezaan atau tidak sehaluan lagi terutama berkenaan projek terbaharu 6ixth Sense ketika itu.

Begitupun, akui pemuzik berusia 36 tahun itu, hubungan dengan rakan seperjuangan lain masih seperti dulu malah mereka tetap saling bertanya khabar.

“Masing-masing sudah matang dan saya pun tidak mahu membesarkan perkara ini. Kami tidak bergaduh mahupun bermasam muka, biasalah kalau setakat berbeza pendapat.

“Hubungan saya bersama empat lagi anggota 6ixth Sense masih baik. Macam yang saya cakap, album saya tak boleh buat, tapi untuk persembahan pentas jika ada kelapangan kenapa tidak.

“Tidak timbul isu bergaduh mahupun perkara kurang elok dan sebagainya. Semua faktor sudah diambil sebelum saya buat keputusan ini,” luahnya lagi.

Sepanjang pembabitan dalam arena seni, anak jati Kuala Lumpur itu pernah menghasilkan beberapa lagu termasuk Tanpa, Maafkanku dan Kelam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI