fbpx

Gagal seludup 450 liter diesel ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah lori ditahan di kawasan kelapa sawit di Kampung Rahmat, Lubuk Setol dekat Rantau Panjang semalam selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan penyeludupan 450 liter minyak diesel. /FOTO IHSAN KPDNHEP

RANTAU PANJANG – Cubaan seorang pemandu lori dan kelindannya untuk menyeludup sebanyak 450 liter diesel ke Thailand gagal apabila taktik mereka mengisi minyak secara berulang kali di dua buah stesen minyak di Jeli dan Tanah Merah dekat sini semalam dikesan pihak berkuasa.

Lelaki berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an itu dicekup di ladang kelapa sawit Kampung Rahmat, Lubuk Setol di sini selepas sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga mengekori lori jenis Volvo itu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, operasi bermula kira-kira pukul 1 pagi selepas pihaknya menerima maklumat sebelum mengesan sebuah lori dipandu dalam keadaan mencurigakan ketika sedang mengisi minyak diesel secara berulang di dua buah stesen minyak di Jeli dan Tanah Merah.

Menurutnya, penguat kuasa KPDNHEP, PGA dan PPM mengekori lori tersebut sebelum membuat serbuan semasa tiba di kawasan kelapa sawit.

“Pemeriksaan di dalam tangki minyak lori yang telah diubah suai telah menemui sebanyak 450 liter diesel.

“Kedua-dua suspek warga tempatan mengaku telah membeli minyak diesel sebanyak RM600 ke dalam tangki lori tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Aswadi, siasatan mendapati, mereka menggunakan modus operandi dengan mengisi diesel secara berulang di stesen minyak pada waktu awal pagi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Ujarnya, minyak diesel itu dengan nilai rampasan barangan kawalan dianggarkan sebanyak RM 967.50 dan lori yang digunakan untuk kegiatan penyeludupan turut disita.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI