PETALING JAYA – Vokalis kumpulan Boboy, Naqiu atau nama sebenarnya, Wan Naqiuddin Mohd. Najib mempunyai pandangan tersendiri berhubung trend penyanyi sekarang memberi nafas baharu atau menyanyikan semula lagu-lagu lama.
Memegang erat kata-kata yang pernah diucapkan maestro muzik tanah air, Datuk Ramli MS ketika dirinya bertanding dalam program realiti, Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Naqiu, 36, berkata, tidak salah menyanyikan semula lagu orang tetapi perlu ada rasa hormat terhadap karya asal.
“Saya sangat hormat karya orang. Saya banyak belajar ketika GV6 iaitu daripada Datuk Ramli MS sendiri. Beliau cakap, nak nyanyi lagu orang boleh waima nak mencantikkan sekali pun, tiada masalah.
“Tapi, jangan melebih-lebih. Sebab apa, cuba bayangkan lagu kita orang buat sesuka hati mereka. Sebab itulah, kami (Boboy) buat keputusan, kalau nak ‘cover’ (nyanyi semula) orang, pertama sekali, kita hormat karya asal.
“Kalau dah dapat keizinan betul-betul, barulah kami akan buat (rakam semula lagu orang). Kalau dah dapat izin, memang kami akan buat sehabis baik. Bukan setakat nyanyi dan muat naik dalam YouTube sahaja,” kataya kepada Kosmo! Online.
Naqiu berkata demikian ketika ditemui pada sesi santai dan dengar lagu terbaharu Boboy berjudul Tetap Bersama di ibu negara, semalam.
Baru-baru ini, timbul isu lagu Tiara dendangan asal kumpulan Kris dinyanyikan dan diolah semula oleh penyanyi Indonesia, Raffa Affar yang mendapat reaksi pelbagai khalayak.
Dalam pada itu, mengulas tentang impian disatukan dengan Boboy yang akhirnya terlaksana, Naqiu memaklumkan, perihal tersebut didorong oleh permintaan yang tinggi daripada para peminat sejak penyertaannya dalam GV6.
“Saya bersyukur projek ‘reunion’ dengan abang-abang saya ini menjadi kenyataan akhirnya. Pada mulanya, saya mensasarkan pada hujung 2021 tapi terpaksa ditangguhkan kerana komitmen jadual saya yang padat ketika itu.
“Apabila buka saja tahun baharu, kami berbincang semula. Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkan dan projek ini pun bermula sejak April lalu. Kami giat memperkemaskan skil bermain muzik, mengkaji dan menimba ilmu baru trend muzik dan berlatih secara konsisten.
“Proses reunion ini lancar kerana hubungan kami memang akrab dan baik walaupun 20 tahun tidak aktif sebagai artis profesional.
“Cuma, sebelum saya muncul secara solo tiga tahun lalu, kami kurang yakin untuk aktif semula sebagai band. Namun, permintaan yang berterusan itu membakar semangat kami. Lebih manis lagi, ‘reunion’ ini membabitkan kesemua anggota asal Boboy,” katanya.
Selain Naqiu, Boboy kini turut anggota asal iaitu Shah (gitar utama), Didi (bass) dan Dzul (dram). – KOSMO! ONLINE