MELAKA – Sebuah kilang pembungkusan minyak masak peket bersubsidi di negeri ini dipercayai cuba menipu pengguna dengan mengurangkan jumlah timbangan antara 20 gram hingga 100 gram.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, tindakan itu dikesan dalam satu operasi pemutihan yang dilakukan sepasukan penguat kuasa semalam.
Katanya, ujian timbangan dilakukan mendapati sebanyak 850 peket minyak masak satu kilogram (kg) yang dibungkuskan adalah seberat sekitar 900 gram sehingga 920 gram.
“Semasa melakukan pemeriksaan rutin semalam, kami dapati sebanyak 850 peket minyak masak bersubsidi telah dibungkus dengan berat tidak sampai 1kg, sebaliknya antara 920 gram hingga 980 gram sahaja.
“Pengilang memberi alasan kesilapan itu disebabkan mesin penimbang rosak, namun berat yang tidak mencukupi itu sangat ketara dan kerana itu kita telah menyita kesemua minyak peket tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan operasi pemeriksaan pembungkusan minyak masak di sebuah kilng di Taman Merdeka, di sini hari ini.
Ujarnya, kilang tersebut bagaimanapun dibenarkan untuk beroperasi, namun di bawah pemantauan pihak KPDNHEP.
Mengulas lanjut Norena berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bekalan minyak yang tidak cukup berat itu telah berada di pasaran.
“Kita nak lihat perjalanan barang (minyak masak) ke mana dan bukti kukuh diperlukan dalam kes ini sama ada disengajakan atau tidak.
“Jika kita dapati minyak masak ini sudah dihantar ke pasar raya, maka ia akan ditarik semula dan kita panggil pakar untuk menilai dakwaan mengenai mesin kerosakan mesin timbang itu,” ujarnya.
Katanya, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dibaca bersama Seksyen 6(1)(b) akta sama yang boleh didenda sehingga RM250,000 bagi kesalahan pertama, manakala RM500,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya. – KOSMO! ONLINE.