PETALING JAYA – Selepas penyanyi terkenal Justin Bieber terpaksa menunda tarikh mengadakan konsert di Malaysia gara-gara mengalami kelumpuhan pada wajah pada bulan lalu, kumpulan K-Pop tersohor dunia, Blackpink mengejutkan peminat dengan pengumuman sebuah konsert di Malaysia pada Mac 2023.
Memetik laporan portal hiburan TwentyTwo13, konsert kumpulan muzik berpengaruh dari Korea Selatan itu bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Mac 2023, sekali gus menjadi konsert kedua mereka di negara ini.
Pengumuman tersebut seiring pelancaran sebuah album baharu mereka sekitar bulan depan, sekali gus bakal menganjurkan siri konsert jelajah dunia yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Difahamkan siri konsert jelajah dunia itu bakal melakar sejarah apabila menjadi konsert jelajah terbesar melibatkan kumpulan muzik wanita.
Terdahulu, Blackpink yang dianggotai oleh Jisoo, Jennie, Rose dan Lisa sebelum ini pernah mengadakan konsert di Malaysia bertempat di Stadium Shah Alam pada Februari 2019.
Selain kumpulan yang popular dengan lagu Kill This Love itu, penyanyi terkenal Hollywood, Billie Eilish juga bakal mengadakan konsert sulungnya di Malaysia pada 18 Ogos ini juga bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil. – KOSMO! ONLINE